Gastrik dan Puasa

Kedatangan ramadan tentu membuatkan ramai teruja. Berpuasa merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu menahan diri daripada makan dan minum untuk suatu jangka masa yang ditetapkan.

Pada umumnya, tubuh manusia akan mengalami perubahan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan berpuasa untuk beberapa hari atau minggu awal puasa. Pedih pada hulu hati adalah antara simptom yang biasa berlaku pada peringkat awal puasa. Antara simptom-simptom lain seperti keradangan perut, loya atau muntah.

Perubahan pada pola makan ini menyebabkan terjadinya perubahan fisiologi tubuh seperti penurunan berat badan dan peningkatan asid dalam perut semasa perut kosong, terutamanya pada siang hari.

Gastrik atau gastritis adalah di mana terdapat keradangan pada dinding lapisan perut. Dinding perut berperanan untuk merembeskan asid hidroklorik dan sejenis enzim untuk proses percernaan protein dan membantu membunuh kuman. Gastrik terjadi apabila perut dalam keadaan kosong menyebabkan terhasilnya gas atau angin kerana tiada makanan untuk di cerna. Tahap asid dalam perut juga tidak dapat dilaraskan. Hal ini menyebabkan berlakunya ketidak stabilan asid dalam perut yang kemudian boleh menghakis lapisan mukosa dan seterusnya menyebabkan kecederaan pada dinding perut.

Persiapan dan perubahan sangat penting kepada individu yang mempunyai masalah percenaan seperti gastrik. Ini untuk memastikan enzim perut tidak panik apabila berpuasa. Penjagaan pemakanan terutama ketika bersahur dan berbuka sangatlah diperlukan supaya dapat menjaga kesihatan perut ketika berpuasa. Berikut adalah antara makanan yang perlu dihadkan atau dielakkan:

  • Makanan berminyak
  • Makanan pedas
  • Makanan dalam tin – kerana mengandungi asid yang tinggi
  • Makanan yang berasid tinggi seperti, oren, limau, tomato
  • Makanan yang diproses seperti nuget dan sosej.
  • Minuman bergas
  • Minuman berkafein seperti, teh dan kopi

Pemakanan dan gaya hidup sememangnya memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan dan ketahanan sistem percernaan. Pemakanan yang tidak sihat dan tidak bersih atau pola makan yang tidak konsisten bukan sahaja memberi kesan kepada gastrik bahkan boleh hingga kepada tahap risiko kanser seperti kanser perut.

Persiapan dan perubahan ini bukan sahaja untuk bulan ramadan, malah amat digalakkan untuk penghidap gastrik untuk mengamalkannya setiap hari dalam kehidupan bagi mengurangkan dan merawat komplikasi gastrik sebelum ke tahap yang berbahaya.